KOTA TINGGI – Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Tun Sri Lanang di sini semalam, mahu mengadakan kenduri tahlil selamat sempena 100 hari kematian bapa pada hari ini.
Bagaimanapun, hasrat pasangan tersebut, Md Raus Kamaludin, 40, dan isteri Noorain Tohit, 33, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan.
Menurut Norhamimah Khamis, 39, adik iparnya, Noorain berhajat mengadakan kenduri malam ini sempena genap 100 hari pemergian bapanya.
“Arwah ada memaklumkan kepada adik beradik lain mahu mengadakan majlis kenduri doa selamat sempena arwah bapanya yang meninggal dunia dan genap 100 hari hari ini.
“Arwah bapanya meninggal sebab sakit tua tiga bulan lalu. Difahamkan semasa kemalangan mereka dalam perjalanan balik ke Kilang Sawit Tai Tak.
“Malam kelmarin mereka berdua pulang ke Felda Bukit Easter di rumah mentuanya, memang setiap minggu mereka akan pulang ziarah mentuanya.
“Arwah seorang yang pendiam tetapi orang baik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini semalam.
Norhamimah berkata, pasangan suami isteri itu telah lebih 10 tahun mendirikan rumah tangga namun belum mempunyai cahaya mata.
Katanya, mereka berdua memang lebih senang menaiki motosikal untuk ke mana-manaberbanding kereta termasuk semasa pulang ke kampung.
Kedua-duanya kata Norhamimah, merupakan pecinta kucing dan memiliki kira-kira tujuh ekor haiwan itu yang dipelihara untuk mengisi masa lapang mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal Honda dinaiki pasangan terbabit dengan sebuah lori jenis tipper.
Kemalangan katanya, dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berumur 65 tahun dari arah Kota Tinggi ketika hendak membelok ke sebelah kanan.
Beliau berkata, kemudian datang motosikal dinaiki pasangan tersebut dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
“Penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya lagi, hasil ujian saringan awal polis terhadap air kencing pemandu lori pula berkeputusan negatif tidak mengandungi sebarang dadah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette