Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Perak menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Foto Ihsan JKKP Perak

MANJUNG – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta merta di sebuah kuari di sini susulan kejadian seorang pekerja kuari yang maut akibat dihempap batu, semalam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu berlaku sekitar jam 4.45 petang melibatkan mangsa, lelaki berusia 35 tahun.

Menurut kenyataan itu, susulan kejadian tersebut sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Perak telah diarahkan untuk menjalankan siasatan awal sebaik sahaja menerima maklumat.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bekerja sebagai operator mesin korek (driller) jenis ‘crawler’.

“Semasa kejadian mangsa sedang bekerja mengendalikan mesin korek dan rakan sekerja mangsa mengendalikan mesin jengkaut.

“Pada jam 4.45 petang ketika menjalankan kerja di muka kuari, mangsa telah dihempap batu kuari jatuh dari cerun sebelahan tempat mangsa sedang bekerja.

“Mangsa disahkan maut ditempat kejadian oleh pegawai perubatan,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kuari tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Pihak jabatan turut mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.

“JKKP Perak akan menjalankan siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam bagi saksi yang dikenal pasti dan lawatan susulan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” jelas kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja serta bertanggungjawab mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast