BUKIT MERTAJAM – Pemandu treler kontena yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang gadis maut di Jalan Kebun Sireh di sini, semalam, direman selama empat hari.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini sehingga 17 November ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah jam 8.20 pagi diiringi anggota polis sempat menunjukkan tanda ‘peace’ ketika pihak media merakamkan wajahnya.
Semalam polis Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris mengesahkan pemandu treler yang mengakibatkan kontena dibawanya terbalik dan menghempap dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Tengah di sini, ditahan.
Dalam kejadian 9.15 pagi itu, wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian manakala lelaki berusia 25 tahun cedera dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
“Dia ditahan untuk siasatan dan setakat ini, ujian saringan air kencing dijalankan mendapati negatif alkohol,” katanya. – MalaysiaGazette