JOHOR BAHRU – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, pada 3 November lalu.
Alvin Tham Zheng Xu, 33, mengangguk faham bagi kesemua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis serbuk ekstasi dengan anggaran berat kasar 149,581 gram (g), dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 6,998g dan dadah jenis nimetazepam dengan berat anggaran 3,000g.
Dia turut didakwa memiliki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 6,110g.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Utama 37, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini pukul 9.45 malam pada 3 November lalu.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, Zheng Xu didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM 100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Zheng Xu turut berhadapan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA pada 3 November lalu.
Lelaki itu mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 100g di Jalan Sutera Pulai 2/2, Taman Sutera Utama di sini.
Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari ini untuk laporan kimia dan sebutan semula kes.
Selasa lalu, portak ini melaporkan polis Johor menahan tujuh individu termasuk dalang berusia 33 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM28 juta dalam tiga serbuan awal bulan ini, sekali gus menjadi rampasan terbesar di Johor tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan, dan dua wanita warga asing berumur 27 hingga 62 tahun.
Katanya, merekau ditahan menerusi serbuan di sekitar bandar raya ini, Iskandar Puteri, dan Kluang, pada 3 dan 4 November lalu.- MalaysiaGazette