Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak membersihkan sebuah rumah warga emas yang dipenuhi sampah lebih satu tan di Taman Perpaduan Jaya, Ipoh, semalam. Foto Ihsan MBI

IPOH – Sebuah rumah yang didiami seorang warga emas di Taman Perpaduan Jaya di sini, tidak ubah seperti tempat pelupusan sampah kerana dipenuhi lebih satu tan sampah termasuk barangan kitar semula seperti plastik, kertas, kadbod dan tin aluminium.

Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak menjalankan Operasi Bersepadu Penghapusan Kacau Ganggu Aduan Pengumpulan Barangan Kitar Semula dan Sampah Sarap di rumah yang didiami lelaki berusia 66 tahun itu, semalam.

MBI dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada orang awam.

Menurutnya, lelaki terbabit didapati menjalankan aktviti mengumpul barangan kitar semula dan menyimpan sampah dalam kawasan rumah kediaman teres satu tingkat sehingga menjadi kacau ganggu persekitaran kepada penduduk berhampiran.

“Susulan itu, satu operasi dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran itu dilakukan setelah pemilik premis gagal mematuhi Notis Mengkehendaki Kacauganggu Dihapuskan dibawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Operasi yang diketuai oleh Penasihat Undang-Undang Bandaraya dan dibantu jabatan berkaitan serta polis bermula jam 9 pagi berakhir tiga jam kemudian tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Pemilik premis juga telah memberikan kerjasama kepada MBI bagi membersihkan kacau ganggu dengan memindahkan kesemua barang-barang terpakai.

“Sebanyak tiga buah lori berisi plastik, kertas, kadbod dan tin aluminium telah dikutip dengan berat keseluruhan sisa sebanyak 1,110 kilogram,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, kesemua barangan kitar semula telah dihantar ke Pusat Kitar Semula di Kawasan Perindustrian IGB dengan persetujuan pemilik premis dan pihak MBI.

“Pihak syarikat kitar semula telah membeli dan membayar sejumlah wang kepada pemilik premis berdasarkan berat bahan kitar semula.

“Pemilik premis juga telah dinasihatkan untuk berhubung secara terus dengan syarikat kitar semula pada masa akan datang untuk mengelakkan barangan kitar semula dikumpul semula sehingga menjadi kembali kacau ganggu kepada orang awam.

“Sekiranya perkara ini masih berlanjutan, MBI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan yang lebih tegas pada masa akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu, warga bandar raya Ipoh diminta untuk melayari portal Ekonomi Kitaran MBI di pautan htttp://www.mbi.gov.my/sumber/ekonomi bagi mendapatkan maklumat senarai syarikat kitar semula yang berlesen di dalam kawasan pentadbiran MBU untuk dihubungi bagi tujuan menjual barangan kitar semula supaya yang Terbuang Menjadi Wang (Trash for Cash). – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast