KUALA LUMPUR – Seramai 14 remaja, termasuk pelajar sekolah, antara 61 individu yang ditahan pada upacara mengangkat sumpah kumpulan kongsi gelap di Salak Selatan, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Tangkapan tersebut dilakukan menerusi serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Cheras) di sebuah rumah kedai pada jam 11 pagi hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.
Ketika serbuan dilakukan kumpulan kongsi gelap itu dipercayai sedang bersiap sedia untuk merekrut ahli baru yang terdiri daripada 14 remaja bawah umur dan pelajar sekolah berusia lantara 14 hingga 17 tahun.
Selain itu, 10 orang yang ditahan merupakan golongan warga emas berusia antara 60 hingga 91 tahun dan seramai 37 lagi adalah lelaki dewasa berumur antara 18 hingga 59 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang, termasuk mempunyai rekod jenayah lampau.
Modus operandi aktiviti pertubuhan terbabit ialah menamakan pertubuhan dengan mengaitkannya dengan kemakmuran selain berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mengaburi dikesan pihak berkuasa.
Pihak berkuasa mendapati antara kesalahan yang dikenalpasti adalah merekrut remaja bawah umur dan terdapat unsur gengsterisme serta memiliki peralatan angkat sumpah.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan tentang operasi itu.
Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berkaitan serbuan itu dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette