KUALA UMPUR – Aktivis kemanusiaan dan selebriti terkenal, Faizal Tahir menyarankan umat Islam di seluruh negara mengadakan solat hajat untuk memohon bantuan daripada Allah dan mendoakan kemenangan bagi umat Islam di bumi Palestin.

Beliau berkata, penduduk Palestin kini dalam perjuangan menentang kekejaman Israel dan berusaha untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Zionis.

“Umat Islam perlu diingatkan bahawa isu Palestin adalah isu umat Islam seluruh dunia, jadi kita mesti bersatu hati menunaikan solat hajat memohon kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Islam Palestin keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat (#SolatHajatGaza Siri 5.0) untuk Palestin dan Lubnan di Surau Ar-Rayyan@Larai, Precint 6, Putrajaya.

Terdahulu, program tersebut digerakkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, disokong oleh Cinta Syria Malaysia (CSM) dan I Am Faithmen.

Dalam ucapannya, Dr. Zulkifli turut menyarankan umat Islam mendoakan kesejahteraan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 di Selatan Lubnan yang tercedera akibat terkena serpihan letupan rejim Zionis.

Berdasarkan maklumat dari Tentera Lubnan, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota Batalion Malbatt 850-12 melalui sekatan jalan raya Tentera Lubnan melalui Awali di Sidon, Lubnan.

Atur gerak pasukan Malbatt 850-12 yang membabitkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 sehingga 18 November.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast