Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

KUALA LUMPUR – Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) resah dengan tindakan pihak berkuasa agama melarang ahli akademik dan cendekiawan Islam berkelayakan daripada berkongsi ilmu kepada awam tanpa kelulusan.

Dalam satu kenyataan, ASA UIAM berkata, perkembangan itu menimbulkan isu penting berkenaan kebebasan akademik serta akses terhadap pengetahuan agama Islam dalam kalangan orang awam terhadap para cendekiawan berkelayakan.

Tambahnya, tindakan itu juga menimbulkan isu penting berkenaan layanan terhadap para ahli akademik yang memberi sumbangan secara bertanggungjawab kepada wacana awam mengenai Islam.

“Para ahli akademik dan cendekiawan dengan latar belakang pendidikan Islam yang formal menyedari tanggungjawab mereka untuk berkongsi ilmu agama Islam secara bertanggungjawab.

“Menghalang kemampuan mereka untuk berkongsi ilmu bukan sahaja mengehadkan peranan profesional mereka, tetapi turut menghalang orang awam daripada mendapatkan pendidikan berkenaan Islam yang boleh dipercayai.

“Sekatan-sekatan sebegini menghalang wacana yang bermaklumat dan boleh meningkatkan risiko sumber yang tidak berkelayakan mengisi kekosongan pengetahuan.

“Sumbangan akademik boleh mengelakkan salah faham dan memupuk penglibatan yang positif dengan orang awam,” demikian menurut kenyatan itu.

Sehubungan itu, tambahnya, ASA UIAM menggesa pihak berkuasa agama bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan tinggi untuk menyokong pengajaran Islam kepada orang awam oleh ahli akademik dan cendekiawan yang berkelayakan.

Menerusi kerjasama sebegitu, ujarnya, pihak berkuasa agama dan ahli akademik dapat memastikan ilmu pengetahuan berkaitan Islam dapat disebarkan dan diakses dengan tepat serta mudah oleh orang awam.

“ASA IIUM juga menyeru supaya larangan itu dipertimbangkan semula selain menawarkan sokongan untuk mewujudkan rangka kerja yang mengiktiraf kelayakan akademik dan memupuk persekitaran yang konstruktif untuk pendidikan Islam di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan yang sama tidak menyatakan secara jelas berhubung larangan kepada para ahli akademik untuk berkongsi ilmu berkenaan Islam itu serta pihak berkuasa agama yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here