Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. Foto SADIQ SANI, 05 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kenderaan berat seperti lori kontena, treler dan lori kecil dilaporkan antara penyumbang tertinggi kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan sejak Januari sehingga September lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah kenderaan perdagangan itu juga mengakibatkan kemalangan maut membawa kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Statistik kami (JSPT PDRM) menunjukkan sebanyak 168 kes kemalangan telah direkodkan sepanjang sembilan bulan lalu melibatkan kenderaan perdagangan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 97 kes adalah melibatkan kemalangan maut, manakala 32 kes kecederaan parah dan 39 kes lagi merupakan kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, tambah beliau statistik sama turut merekodkan sebanyak 16 kes kemalangan melibatkan kenderaan perkhidmatan.

Jelasnya lagi, berikutan perkembangan itu pihak JSPT mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan tindakan undang-undang menerusi pelaksanaan Ops Perdagangan di negara ini.

“Hasilnya, JSPT telah melaksanakan sebanyak 4,822 operasi di jalan raya seluruh negara dan berjaya mengeluarkan sebanyak 38,367 saman terhadap kenderaan atas pelbagai kesalahan sementara sebanyak 177 buah kenderaan telah diambil tindakan sitaan.

“Antara kesalahan utama yang berjaya dikesan oleh pasukan JSPT sepanjang operasi itu adalah membawa muatan berbahaya dan tidak kemas, tidak memiliki tanda segi tiga dan bunga tayar, lampu signal (indikator isyarat kenderaan) serta brek tidak berfungsi,” katanya lagi.

Beliau dalam perkara sama meminta pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan agar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman memastikan tahap kesihatan pemandu berada pada tahap terbaik, kesiapsiagaan dan kemahiran dalam pemanduan kenderaan tersebut.

Mohd Yusri juga menegaskan bahawa penyelenggaraan kenderaan secara berkala perlu dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan itu selamat dan layak berada di atas jalan raya.

“Pihak JSPT akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“JSPT tidak akan berkompromi sama sekali dalam hal ini dan akan bertindak lebih tegas dalam penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan semua pengguna di jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” ujar beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here