KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai pertumbuhan inklusif, menangani jurang digital dan isu etika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga sedang mewujudkan kerangka yang memberi tumpuan kepada inovasi dan keterangkuman terkait AI.
“Saya turut menekankan keperluan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan dan pendigitalan.
“Terdapat juga keperluan pendekatan pelbagai aspek dalam penerapan AI, termasuk pelaburan dalam tenaga hijau, pemuliharaan air, dan reformasi peraturan birokrasi agar lebih responsif kepada pelabur.
“Adalah penting untuk kita bekerjasama menerusi ASEAN, seperti inisiatif hijau ASEAN dan agenda digital bersama, untuk melengkapkan kekuatan setiap negara dan menangani cabaran bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, beliau menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2024 di Peru.
Pada sesi dialog bersama pemain utama dalam industri teknologi dan digital, Anwar berkata, beliau telah mengupas pandangan serta berkongsi dasar negara terkait peluang dan cabaran dalam revolusi AI.
“Malaysia komited memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025, dana saya menyeru kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri, dan komuniti untuk membuka peluang dalam ruang digital serta memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era kemajuan digital yang pesat.
“Sebagai konklusi, saya menegaskan walaupun akan ada gangguan dengan AI, namun kita mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan dan latihan bagi mewujudkan syarat yang tepat untuk kejayaan di masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette