NEW DELHI – Semua sekolah rendah di sini akan ditutup kerana pencemaran udara yang semakin teruk.
Dalam catatan di X, Ketua Menteri, Atishi Marlena Singh berkata, kelas akan dijalankan secara dalam talian sehingga diberitahu kelak.
Keputusan itu diambil kerana jerebu tebal menyelubungi bandar ini.
New Delhi dan bandar berdekatan sedang mengalami tahap pencemaran yang dianggap berbahaya kepada kesihatan orang ramai.
Pada hari Khamis, zarah halus di udara adalah lebih daripada 50 kali ganda daripada yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
New Delhi dan negeri-negeri utara India setiap tahun menghadapi jerebu semasa musim sejuk disebabkan penurunan suhu, asap, habuk, kelajuan angin rendah, pelepasan kenderaan dan pembakaran tunggul tanaman.
IQAir, kumpulan pemantau Indeks Kualiti Udara (AQI) yang berpangkalan di Switzerland memberitahu, New Delhi mempunyai purata 254 keping zarah halus – atau PM 2.5 – setiap meter padu udara pada hari Khamis berbanding penetapan WHO selamat tidak lebih daripada 15 dalam tempoh 24 jam.
Ini kerana zarah halus boleh menembusi paru-paru dan menjejaskan organ, sekali gus menyebabkan penyakit kardiovaskular dan pernafasan, manakala kajian menunjukkan ia juga boleh melambatkan perkembangan kanak-kanak kecil.
Pada masa yang sama, pemantauan oleh IQAir mencadangkan bandar jiran Gurugram dan Noida mempunyai pencemaran udara yang berbahaya, seperti bandar Chandigarh di utara India.
Penduduk di New Delhi didakw mengalami kerengsaan mata dan masalah pernafasan, menurut media tempatan.
Satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet pada bulan Julai mendapati, 7.2% daripada kematian harian di bandar ini boleh dikaitkan dengan pencemaran zarah halus.
Pencemaran udara dijangka berkurangan dalam beberapa hari akan datang, tetapi akan kekal pada tahap tidak sihat. – Agensi