Anggota bomba sedang melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa dalam kejadian lemas di Sungai Kampar, Gopeng petang tadi. Foto JBPM Perak

GOPENG – Dua lelaki dan seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika mengikuti aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Kampar, di sini, petang tadi.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa peserta yang mengikuti program Team Building daripada Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah (SPT) dan Langkawi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 5.56 petang.

Menurutnya, sejurus selepas menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat tiga orang mangsa yang lemas dan dinaikkan ke tebing sungai di dua lokasi berbeza oleh orang awam.

“Mangsa yang dinaikkan di lokasi pertama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang lagi mangsa yang dinaikkan di lokasi kedua, disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tindakan Ketua Operasi mengarahkan anggota memberi rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada kesemua mangsa dan dibantu oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, jarak perjalanan rafting adalah sejauh enam kilometer (km) menyusuri sungai tempat dipercayai mangsa dihanyutkan.

Katanya, arus berlaku selepas 4km perjalanan menyusuri sungai dan kesemua mangsa berjaya ditemui serta dinaikkan di kawasan yang sepatutnya aktiviti tersebut berakhir.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast