JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak yang hilang selepas tergelincir ketika bermain di tepi longkang di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, di sini, semalam, ditemui meninggal dunia hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, mayat budak lelaki berusia 10 tahun itu ditemui pukul 5.10 petang.
“Mayat kanak-kanak itu ditemui pada hari kedua operasi yang dilakukan sekitar Sungai Danga, di sini.
“Anggota bomba yang terlibat operasi mencari dan menyalamat (SAR) menemukan mayat kanak-kanak tersebut pada jarak 3.7 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Penemuan itu selepas pihak bomba membuat pencarian dengan menggunakan satu bot di sekitar Sungai Danga,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kanak-kanak itu yang tergelincir ke dalam longkang ketika cuaca hujan, pada pukul 3.37 petang.
Dilaporkan, kedalaman longkang kira-kira 3.9 meter dan lebar kira-kira 6.7 meter, manakala paras air ketika mangsa hilang adalah pada kedalaman 2.43 meter.
Nordatul berkata, operasi SAR mangsa pada hari ini turut mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai.
Turut sama dalam operasi SAR katanya, adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua rakan lelaki berusia 7 dan 8 tahun sedang bermain air di tepi longkang.
“Mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan oleh arus deras ke arah longkang besar berhampiran Pasaraya Warda Mart,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai atau longkang terutama semasa musim tengkujuh bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.- MalaysiaGazette