Nik Nazmi Nik Ahmad

GOMBAK – Kerajaan menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu dapat mempromosikan sumber geotapak dan geopark dalam negara sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan negara.

“Ini selari dengan usaha menggubal dasar, strategi dan garis panduan untuk memastikan pembangunan kawasan geopark dilaksanakan secara lestari dan holistik serta mencapai pengiktirafan sehingga ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Pertama Selangor yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan Selaku Majlis Penasihat, Datuk Ng Suee Lim.

Sehubungan itu, Nik Nazmi menyifatkan pengisytiharan Gombak-Hulu Langat sebagai Geopark Kebangsaan memberi impak l besar kepada alam sekitar dan komuniti setempat, terutamanya dari aspek sosioekonomi.

“Gombak-Hulu Langat Geopark dilihat sebagai pelaksanaan yang inklusif serta berpotensi menjadi model terbaik untuk dicontohi oleh negeri-negeri lain,” ujarnya.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 10 Geopark Kebangsaan termasuk Gombak-Hulu Langat Geopark telah diperakukan termasuklah Jerai di Kedah; Kinta dan Lenggong di Perak; Labuan; Sarawak Delta; Stong di Kelantan, Kenyir di Terengganu, Perlis dan Lipis di Pahang.

Manakala dua geopark yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) adalah Langkawi dan Kinabalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast