Dr Muhammad Adli dan Dr Siti Nursabrina

KUALA LUMPUR – Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha dan Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad yang kini menjadi pasangan suami isteri bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan mengenggam segulung ijazah pada Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan ini sudah berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Muhammad Adli yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) dalam majlis bersejarah itu menyifatkan tiada jalan mudah untuk kita mencapai satu kejayaan.

“Tetapi satu tips yang saya boleh kongsi adalah, perlu selalu mendekati pensyarah-pensyarah kita kerana mereka adalah individu yang sangat berpengalaman. Mereka dapat memberikan nasihat yang berguna dan kita patut guna nasihat ini terapkan dalam pelajaran kita,” kongsinya.

Mengakui bercinta semasa pengajian, Dr Muhammad Adli berkata, yang paling penting adalah keseimbangan dalam kehidupan
peribadi dan pembelajaran.

“Bercinta boleh tapi janganlah kita abaikan pelajaran dan hanyut sampai tersasar daripada jalan yang sepatutnya,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Nursabrina turut berkongsi kejayaannya dengan selalu bangun setiap pagi dan berdoa memohon restu kepada Allah dan ibu bapa, selain bersungguh-sungguh dalam kelas.

Mengakui pernah gagal dalam peperiksaan akhir namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bangkit.

“Saya tiada pilihan melainkan untuk bangkit semula, belajar lebih kuat daripada biasa dan juga pastikan lulus peperiksaan itu. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast