Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Perjanjian jual beli tanah seluas 59.2 ekar di Gebeng Kuantan antara Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd. (Petroluxe) baru-baru ini melibatkan tanah pajakan 99 tahun untuk kegunaan industri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Petroluxe akan membangunkan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM3 billion.

Menurut beliau, sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah tersebut, Petroluxe semestinya memerlukan jaminan pihaknya boleh mengguna pakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan iaitu dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangkamasa yang terhad.

Menerusi perjanjian ini, Pasdec akan memperoleh sekitar 2.0 peratus ekuiti dalam syarikat usahasama ini dan adalah tidak munasabah sekiranya PASDEC mempermodalkan tanah tersebut.

Selain itu, melalui hasil jualan tanah tersebut, PASDEC boleh mempercepatkan pembinaan projek-projek perumahan dan komersil yang sudah dalam perancangan yang mana akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan.

“Petroluxe adalah sebuah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang saham majoritinya adalah Unigrand Petroluxe Sdn. Bhd. Oleh yang demikian, tidak wujud isu pemilikan oleh syarikat asing secara terus.

“Bahkan, Petroluxe sudah memperolehi kelulusan secara dasar daripada MITI dan MIDA untuk mendirikan sebuah loji penapisan. Pelaburan ini bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pahang serta kesan ekonomi berganda dan kemampanan (sustainability) dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan,” katanya.

Wan Rosdy membuat penjelasan ini susulan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura yang cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah antara Pasdec dan Petroluxe Refinery.

Jelas beliau lagi, limpahan peluang perniagaan serta percambahan ekonomi hiliran dalam sektor yang berkaitan dengan kejuruteraan dan ekosistem perkhidmatan sokongan juga akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negeri Pahang.

Penjualan tanah kepada pelabur daripada negara luar untuk membangunkan industri bukan satu perkara yang baru, malah sudah bertahun lama dipraktikkan bukan sahaja di Negeri Pahang tetapi juga di negeri-negeri lain di Malaysia untuk tujuan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan negeri.

“alam pada itu, saya ingin menjelaskan bahawa keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hanyalah untuk menyaksikan sahaja majlis menandatangani perjanjian tersebut.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang seolah-olah Pasdc dengan sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka masa Panjang,” ujarnya.

Tambahnya, beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti dan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap Kerajaan Negeri Pahang. – MalaysiaGazette

Pasdec jual tanah industri RM73.50 juta kepada pelabur China

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here