Pelajar UNITEN bersama para peserta program Eksplorasi Tajwid.

ROMPIN – Seramai 26 peserta dari Rumah Anak Yatim & Miskin Nur Iman, dekat sini menyertai Program “Eksplorasi Tajwid: Menyelami Keindahan Al-Quran” yang bertujuan memupuk kecintaan kepada al-Quran dan memperdalam pemahaman ilmu tajwid di
kalangan penghuni rumah anak yatim tersebut.

Program ini dikendalikan oleh enam fasilitator berdedikasi, termasuk lima Huffaz Profesional yang mengikuti Pensijilan Tahfiz Al-Quran di samping Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang.

Antara aktiviti yang dijalankan bersama para peserta.

Pengarah Program, Adib Mursyid Amran berkata, para fasilitator menyumbang ilmu dalam program ini sementara peserta pula dapat memperkukuhkan pemahaman tajwid serta membetulkan bacaan al-Quran mereka,

Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif disusun sepanjang program untuk memastikan peserta dapat menyerap ilmu dengan cara yang menyeronokkan.

Antara pengisian termasuk Kelas Tajwid, aktiviti berkumpulan, pertandingan Kuiz Tajwid berkumpulan dan individu, serta sesi mendengar alunan bacaan al-Quran oleh fasilitator.

Di samping ilmu tajwid, para peserta turut dibimbing mengenai rukun dan bacaan solat yang tepat.

Para peserta juga dibekalkan dengan Modul Tajwid, Modul Solat, dan Modul Wudhu’ sebagai bahan rujukan berterusan.

Nik Amalena Najebah binti Nik Azman, Penasihat Program berkata, Uniten komited untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat dalam usaha membina generasi muda yang berilmu.

“Usaha kecil seperti ini diharapkan dapat memberi impak positif yang besar, serta menjadi titik tolak kepada lebih banyak program bermanfaat pada masa akan datang,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast