BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatatkan sebanyak 88.12 peratus turun mengundi pada Hari Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk Sesi 2024/2025 yang berakhir pukul 6 petang semalam.
Peratusan pengundian itu antara yang tertinggi pernah dicapai oleh universiti ini sejak sistem e-Voting UTHM diperkenalkan pada tahun 2005.
Dalam pemilihan tersebut, tiga fakulti mencatatkan peratusan mengundi tertinggi iaitu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (94.33%), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (92.94%) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (91.85%).
Pengumuman keputusan rasmi tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP UTHM, Muhamad Hazim Osman.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya berharap calon-calon yang telah dipilih dapat melaksanakan mandat yang diberikan dengan amanah dan dapat berganding bahu dengan pihak pengurusan universiti untuk membawa nama UTHM ke peringkat yang lebih tinggi dalam memastikan agenda universiti berjalan lancar.
“Saya juga berharap pelantikan MPP yang baharu ini nanti dapat menjadi platform terbaik kepada para pelajar dalam menyuarakan hasrat dan pandangan mereka, sekali gus membantu melahirkan graduan yang bersifat holistik serta menjadi rebutan industri,” katanya.
Untuk rekod, seramai 13936 pelajar daripada 15815 pelajar yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula pada pukul 9 pagi sehingga 6 petang sepenuhnya secara dalam talian melalui sistem e-Voting UTHM.
Seramai 13 calon bertanding bagi mengisi kuota lapan Kerusi Umum manakala 30 calon bertanding bagi mengisi 25 kuota di Kerusi Fakulti. – MalaysiaGazette