KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pandemic Sciences Institute (PSI) Universiti Oxford telah mencatat sejarah dengan mengadakan kerjasama melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada bulan ini ke arah melonjakkan penyelidikan, perkongsian ilmu dan inisiatif bersama dalam sains pandemik.
Kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia itu merupakan sebuah komitmen berterusan bertujuan memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan awam global.
Kerjasama ini akan memacu penyelidikan yang tertumpu kepada penyakit berjangkit melalui pendekatan ‘makmal hidup’ dengan penubuhan Makmal Hidup Penyakit Zoonotik dan Bawaan Vektor di UMS.
Projek perintis ini memfokuskan kepada penyakit berjangkit yang memberi kesan kepada pulau Borneo yang sememangnya kaya biodiversiti di Malaysia.
Melalui kolaborasi ini, UMS dan PSI bersedia untuk mengukuhkan asas saintifik bagi kesiapsiagaan pandemik, memupuk penyelidikan inovatif dan membangunkan strategi dalam menangani risiko penyakit berjangkit yang kian berkembang di seluruh dunia seiring dengan moto UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif.
Pada 8 November lalu, PSI menyambut delegasi UMS dalam satu perbincangan meja bulat sebagai simbolik rasmi pelancaran kerjasama ini.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, MoU ini membina asas untuk keselamatan kesihatan dengan membawa sumber dan kepakaran global terus ke Universiti Malaysia Sabah.
Kerjasama ini juga menandakan komitmen universiti terhadap kesihatan awam sebagai tanggungjawab bersama global dan menempatkan Sabah sebagai penyumbang aktif dalam usaha memerangi penyakit berjangkit,” katanya.
Tambahnya, delegasi UMS juga dijemput melawat makmal di bawah seliaan Profesor Miles Carroll, yang merupakan seorang penyelidik PSI dan pakar dalam virus baharu.
Menurut beliau, bekerjasama dengan pakar dari UMS melalui pemantauan serologi dalam komuniti di kawasan yang kaya biodiversiti adalah penting.
“Kini, kita berpeluang untuk mengkaji jejak imunologi yang ditinggalkan oleh virus baru yang boleh menjangkiti manusia dari takungan haiwan semula jadi. Kerjasama baru ini akan memastikan kedua-dua pihak dapat menjalankan lebih banyak kajian di kawasan luar bandar dan hutan di Borneo Malaysia dalam memperoleh gambaran alam sekitar yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette