Sindiket warga Pakistan yang terlibat pemalsuan dokumen membabitkan warga asing di ibu negara ditumpaskan JIM pada 14 November lalu.Ihsan JIM Putrajaya

PUTRAJAYA – Dua lelaki Pakistan yang dipercayai dalang utama dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan membabitkan warga asing antara sembilan yang ditahan Jabatan Imigresen dalam tiga serbuan di ibu negara baru-baru ini.

Sindiket ini dipercayai terlibat memindahkan data maklumat pada biodata pasport milik orang lain yang tamat sahlaku untuk memudahkan warga asing memohon pemeriksaan kesihatan FOMEMA di negara ini.

Dua lelaki ini dipercayai aktif sejak enam bulan lepas diberkas oleh Jabatan Imigresen pada 14 November lalu menerusi serbuan tergempar di tiga lokasi sekitar Setapak Jaya, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban.

Sindiket warga Pakistan yang terlibat pemalsuan dokumen membabitkan warga asing di ibu negara ditumpaskan JIM pada 14 November lalu.Ihsan JIM Putrajaya

Operasi itu dilaksanakan bermula pada jam 11.51 pagi hasil aduan awam dan risikan selama tiga minggu.

Menurut beliau, dalam operasi yang telah diatur itu, mereka telah menahan dua buah kenderaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sembilan suspek yang terdiri dua lelaki Pakistan dipercayai ‘dalang utama’ sindiket berusia 27 dan 37 tahun, enam lagi lelaki juga warga Pakistan dan seorang lelaki warga India berusia di antara 21 hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan pagi hari ini.

Tambah Zakaria lagi, hasil soal siasat ke atas dua ‘dalang utama’ itu kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah premis kediaman.

Pemeriksaan di premis itu, pihaknya merampas 161 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 74 naskhah pasport Bangladesh, pasport Pakistan (33), pasport India (26), pasport Indonesia (19), pasport Myanmar (6), masing-masing senaskhah pasport Filipina, Iraq dan Thailand serta satu set komputer riba.

Sindiket warga Pakistan yang terlibat pemalsuan dokumen membabitkan warga asing di ibu negara ditumpaskan JIM pada 14 November lalu.Ihsan JIM Putrajaya

Pasukan JIM turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Innova dan sebuah kenderaan jenis Proton Exora disyaki milik sindiket, jelasnya.

“Hasil semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara Pakistan yang merupakan
‘dalang utama’ memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku
manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan
atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Tegasnya lagi, sindiket juga akan membawa warganegara asing yang telah dibekalkan pasport yang telah diubahsuai ke klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap urusan.

Menurutnya, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lagi warganegara Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala, tujuh lelaki warga asing lain pula kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Sementara itu, dua lelaki yang merupakan ‘dalang utama’ diserahkan pada Bahagian
Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki pemegang kad UNHCR dan dua perempuan warganegara
tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan dalam kes tersebut,” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here