Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menyampaikan ucapan ketika menghadiri Kongres Kebangsaan DAPSY 2024 di Centro Mall, Klang. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2024

KLANG – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mendedahkan ramai golongan belia menjauhkan diri daripada politik kerana muak dengan sikap pemimpin muda parti tertentu yang membawa budaya gengsterisme.

Ketuanya, Kelvin Yii Lee Wuen berkata, lebih malang apabila pemimpin muda terbabit tidak ragu-ragu memaintkan isu sensitif walaupun ia berisiko memecahbelahkan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Kita juga melihat pemimpin muda yang membawa budaya gengster untuk mengancam dan memecahbelahkan. Walaupun mereka mungkin kelihatan sebagai seorang hero di mata sesetengah orang, kita kena bertanya kepada diri kita.

“Apa guna jadi wira kepada sesetengah orang tetapi tidak menyelesaikan isu yang ada, malah memburukkan keadaan dan memecahbelahkan negara kita,” katanya berucap pada Kongres DAPSY Kebangsaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming dan Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, Young Syefura Othman.

Kelvin juga berkata, walaupun DAPSY menentang pendekatan pemimpin muda terbabit, namun tidak bermakna pemimpin sayap DAP itu perlu mengikut jejak langkah dan pendekatan negatif itu.

“Kita mesti berjuang untuk melindungi apa yang betul, tidak berbangga walaupun kita lawan balik, kita mengangkat apa yang betul, apa yang benar, tidak bermakna kita menjadi pemimpin seperti itu,” katanya.

Menurut Kelvin lagi, budaya negatif itu perlu dijauhkan jika mahu anak muda mendekatkan diri dengan parti politik di negara ini.

“Kita mesti sentiasa ingat di luar sana, ada orang duduk di tengah yang sedang melihat teladan kita.

“Mereka muak dengan politik yang toksik, tidak konstruktif dan merosakkan. Disebabkan unsur negatif ini, ramai anak muda menjauhi daripada politik.

“Kita dalam zaman anak muda yang kecewa dengan politik melihat perpecahan, rasuah dan pelbagai lagi,” katanya.

Sebaliknya Kelvin berkata, parti politik perlu menggunakan pendekatan kreatif untuk menarik minat anak muda.

“Kita mesti yakinkan mereka bahawa politik bukan tentang kuasa, ia adalah tentang keadilan, kesaksamaan dan hak untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here