Kepulan asap meningkat semasa pengeboman Israel di Jabalia di utara Semenanjung Gaza pada 14 Mei 2024 di tengah-tengah konflik berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. Foto AFP

Oleh Ismail Hashim Yahaya

JIKA membaca atau menonton visual genosid Israel, anda akan mendapati ia bukan terbatas kepada pembunuhan tidak berperikanusiaan ke atas penduduk Gaza sahaja tetapi genosid dalam aspek yang lain, pembunuhan kebenaran dan sekumpulan wartawan yang melaporkannya. Bagi saya tidakkah ini merupakan malapetaka besar dalam sejarah kewartawanan dunia! Israel membunuh pada wartawan dan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan negara yang memperjuangkan prinsip kebebasan media telah bersekongkol dan bersuhabat bersamanya dalam mencarik-carik kebenaran bagaikan kain yang dikoyak-rabakkan!

Berapa ramaikah wartawan asing yang melaporkan genosid di Gaza? Tak ada sebenarnya. Mereka tidak melaporkan genosid Israel itu tetapi melaporkan apa yang kononnya Hamas lakukan ke anggota tentera dan warga haram Israel. Bagaimanapun saya cuba mencari juga dan dalam pencarian maklumat saya dapati terdapat lebih kurang 4,000 wartawan yang melaporkan berita mengenai perang (bukan genosid) di Gaza tetapi majoriti mereka melaporkan dari bumi haram Yahudi.

Kekadang mereka akan masuk sekejap di bumi Gaza dengan diringi oleh tentera Israel dan melaporkan mengenai contohnya senjata yang dirampas, kesan trauma ke atas anggota tentera atau melawat terowong Hamas yang dibom. Seperti biasa selepas itu sidang media akan diadakan dan jurucakapnya adalah pegawai tentera Israel tetapi sudah tentulah akan ada pertemuan tertutup terlebih dahulu memberikan taklimat mengenai apa yang boleh dilaporkan dan sebaliknya.

Jangan terkejut jika dikatakan ada masanya skripnya sudah disediakan melalui kenyataan rasmi pihak tentera Israel! Baik, berapa pulak wartawan yang berada di bumi Gaza? Dalam pencarian saya tiada seorang pun yang dibenarkan masuk. Wartawan Palestin yang berada di Gaza mengisi kekosongan itu tetapi harus bertarung nyawa dalam membuat liputan bukan nyawa mereka seorang tetapi keluarga mereka diheret sama.

Dalam pencarian saya di Google, menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan sejumlah 128 wartawan dan pekerja media di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan telah dibunuh dan 69 yang lain dipenjarakan. Ini menandakan episod hitam dalam sejarah kewartawanan sejak organisasi ini mengumpul data pada 1992. Negara haram Isreal dan segala instituisinya, saya ulangi menjadi pembunuh wartawan! Bukan itu saja mereka telah melakukan genosid ke atas wartawanan. Mereka melakukan pembunuhan ramai-ramai ke atas wartawanan. Ha tu dia!

Pada minggu terakhir Oktober (2024), pihak Israel telah mengebom sebuah rumah di mana tujuh orang wartawan tinggal, membunuh tiga orang wartawan Al Mayadeen dan Al Manar dan mencederakan 15 yang lain. Sejak 7 Oktober 2024, Isreal telah membunuh 11 wartawan di Lubnan. Pada awal Oktober, Al Jazeera melaporkan jurukameranya Fadi al-Wahidi telah ditembak dileher di Kem Pelarian Jabalia di utara Gaza oleh penembak curi Israel dan sekarang berada dalam keadaan koma.

Pihak tentera enggan membenarkan Fadi mendapatkan bantuan perubatan di luar Gaza. Siapa masih ingat Shireen Abu Akleh, yang memakai topi keledar keselamatan dan jaket kalis peluru semasa bertugas telah dikenal pasti sebagai seorang wartawan menjadi sasaran penembak curi, sekalil lagi Israel membunuh wartawan! Tentara Israel telah menuduh enam wartawan Palestin di Gaza yang bekerja dengan Al Jazeera sabagai “pengganas”.

Apa yang Israel lakukan sekarang penapisan mutlak dan pembunuhan wartawan yang meninggal kesan kepada kebebasan media kerana ia akan menghakis sebarang pelindungan ke atas para wartawan yang membuat liputan di zon konflik sebagai koresponden perang. Ia melazimi suatu bentuk genosid, pembunuhan genosid kebenaran,
penapisan total dan genosid ke atas para wartawan.

Saya masih ingat media dalam talian The Intercept menyebut bahawa The New York Times mengarahkan para wartawannya yang membuat liputan mengenai perang Israel di Gaza supaya membatas penggunaan istilah “genosid” dan “pembersihan etnik’ dan elak daripada menggunakan frasa `wilayah yang diduduki’ apabila menyebut tanah milik penduduk Palestin.

Ini menurut menurut memo dalaman yang diperoleh The Intercept. Memo ini mengarahkan para pemberitanya tidak menggunakan perkataan Palestin `kecuali dalam kes tertentu dan mengelakkan daripada menggunakan istilah `khemah pelarian’ yang menyatakan kawasan penempatan penduduk Palestin yang diusir daripada tempat tinggal mereka semasa Perang Arab-Israel dahulu.

The Intercept menyatakan “kawasan-kawasan ini diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai khemah-khemah pelarian yang mana ratusan ribu penduduk Palestin berdaftar tinggal di sana. Kaedah sistematik media barat yang menyahmanusiawikan atau dehumanisasi penduduk Palestin telah digunakan sejak bermulanya genosid (Oktober 2024) sama ada dalam kenyataan rasmi, temubual dan hantaran media sosial oleh menteri-menteri Israel dan ahli politiknya.

Kita dapat memerhatikan contoh-contohnya yang digunakan sebagai sebahagian daripada kes yang diutarakan Afrika Selatan terhadap regim Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Di bawah saya catatkan beberapa contoh yang diambil sebagai menuju kepada kecenderungan genosid itu:

– Hari-hari selepas serangan 7 Oktober 2023, Presiden IsraeI Issac Herzog berkata bukan hanya militan yang bertanggungjawab tetapi seluruh penduduknya bertanggunjawab kepada keganasan ini dan Israel akan berperang “sehingga kami mematahkan tulang belakang mereka”.

– Pada 9 Oktober, 2023, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant merujuk penduduk Palestinin sebagai “haiwan manusia” atau “human animals,” dan  berkata tentera israel akan bertindak dengan wajarnya. Dia kemudiannya memberitahu tentera Israel di sempadan “kami akan menghapuskan semuanya”.

– Pada 16 Oktober 2023, dalam ucapan rasmi di Knesset, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa keadaan ini adalah “perjuangan antara kanak-kanak cahaya dan kanak-kanak kegelapan, antara kemanusiaan dan undang-undang hutan”. Petikan ini telah dihantar ke akaun X pejabat Perdana Menteri tetapi kemudian
dipadamkan.

Bagi ahli politik Israel, penduduk Palestin adalah binatang yang harus disembelih. Retorik ini tertanam dalam ideologi ketuanan kulit putih dan dominasi penjajah ke atas penduduk asal di wilayah yang dijajahi seperti Afrika Selatan, Australia bahkan kepada orang asal India Merah di benua Amerika.

Lebih penting lagi, istilah-istilah dan bahasa-bahasa yang digunakan itu tidak sahaja digunakan dalam kalangan ahli-ahli politik berhaluan kanan. Tetapi kebanyakan naratif dan wacana ini dikongsi dan diulangi dalam kalangan warga haram Israel termasuk anggota tentera Israel yang berada di Gaza.

Penggunaan bahasa nyah manusaiwi atau dehumanisasi yang digunakan secara meluas dalam kalangan tentera Israel mengakibatkan satu fenomena jelik dan buruk muncul dalam video-video yang disiarkan. Dalam video-video yang tersebar di pentas media sosial, anggota tentera ini kelihatan gembira dan berseronok malah berhibur apabila melakukan pembunuhan ke atas penduduk Palestin dan merujuk mereka sebagai
“setengah manusia”.

Paling buruk lagi apabila seorang wartawan terkenal Thomas Friedman dalam
artikel bertajuk “Understanding the Middle East Through the Animal Kingdom”
yang menyamai semua penduduk di rantau tersebut dengan pelbagai serangga sementara AS sebagai seekor singa. Beliau mengakhri kolum dengan menyatakan “kadangkala saya memikirkan Timur Tengah dengan menonton CNN, namun saya lebih suka menonton
Animal Planet.

Seolah-olah Friedman menggalakkan para pembaca dalam memahami Timur Tengah harus dikaitkan dengan alam tabie dan menerangkan pula kadang-kala dia lebih suka menonton Animal Planet darripada CNN bagi memahami rantau Timur Tengah. Agak mengejutkan dalam era digital, AI, Interntet 2.0 dan Chatgpt, fikiran barat dan medianya malah wartawan tersohornya masih kolot mengambarkan manusia di Selatan sebagai gasar dan bersifat kebinatangan.

Mereka maju dari teknologi tetapi mundur dan kolot dari segi pemikiran masih
bersarang dengan ideologi ketuanan kulit putih. Kepada pencetus perang dan media mereka, wartawan yang melaporkan kebenaran di Gaza adalah musuh mereka. Sikap permusuhan ini bukan baharu. Apa yang baharu ialah skala genosid Israel ke atas para wartawan dan kewartawanan.

Kerajaan AS tidak berusaha atau berbuat apa-apa untuk melindungi para wartawan di Gaza ia kerana menyokong kempen genosid Israel yang bukan sahaja ke atas penduduk Gaza tetapi juga wartawan di sana. agi mereka wartawan bersama dengan penduduk Palestiin harus dihapuskan! Mereka ingin memetakan geopolitik baharu bagi wartawan di
Timur Tengah.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast