MELAKA – Mantan Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Norma Badrulhisham, 25, merupakan penerima sulung Anugerah TEJA yang mula diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 yang berlangsung pada 9 hingga 11 November lalu.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.
Norma merasa amat terharu dan bersyukur kerana telah terpilih sebagai penerima sulung Anugerah TEJA UTeM yang mula diperkenalkan oleh UTeM pada tahun ini.
“Bergelar sebagai mahasiswa dan pada masa sama menggalas tanggjungjawab sebagai YDP merupakan laluan getir dan sukar kerana kesemuanya perlu disempurnakan dalam satu tempoh masa yang sama.
“Banyak juga cabaran yang harus ditempuh terutama bagi menjaga kebajikan pelajar lain di samping menumpukan perhatian dalam memburu kejayaan akademik untuk mencorak kecemerlangan masa depan kerana saya menjadi harapan keluarga.
“Syukur, berkat doa kedua ibu dan ayah serta sokongan hebat daripada para pensyarah dan rakan-rakan semuanya dapat dicapai,” ujarnya dalam kenaytaan.
Beliau yang kini telah mula bekerja sebagai Jurutera Pembangunan Produk di syarikat Micron Technology.
Beliau berasal dari Beruas, Perak merupakan anak keempat daripada daripada 7 orang adik beradik.
Anugerah TEJA (Atribut TEJA melambangkan sifat dan kualiti peribadi mahasiswi UTeM yang Tangkas, Elegan, Jagat dan Adaptif) dianugerahkan kepada graduan ikon mahasiswi yang telah mengharumkan nama universiti dalam pelbagai aspek seperti pembangunan akademik dan kerjaya, kepimpinan, etika dan kerohanian, sukarelawan dan khidmat komuniti, kebudayaan dan identiti nasional, sukan dan rekreasi serta teknikal dan inovasi.
Anugerah TEJA itu merupakan salah satu daripada anugerah utama yang diberikan UTeM di samping Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional, Sagu Hati Huffaz Profesional dan Anugerah TUAH.
Antara keunikan UTeM bilamana turut memberikan Anugerah Khas Huffaz Profesional dan Sagu Hati Huffaz Profesional, Anugerah Khas Huffaz Profesional telah dianugerahkan kepada Nik Muhammad Afham Mohd Affandi, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan kepujian.
Sementara itu, Sagu Hati Huffaz Profesional telah dianugerahkan kepada Wan Mohamad Firdaus Wan Faizal graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Penyelenggaraan) dengan kepujian dan Husnul Musyirah Abdul Halim, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) dengan kepujian.
Mereka merupakan antara 78 orang graduan menerima anugerah-anugerah utama berkenaan yang disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama Majlis Konvoksesyen UTeM ke 20.
Menyentuh tentang Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Industri pula, UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri.
Antara anugerah terbaharu bagi Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Industri adalah dari UMW manakala selainnya seperti sebelum ini daripada industri seperti Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., STMicroelectronics Sdn. Bhd., Johnson Controls dan Onsemi.
Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 meraikan 3,459 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula 9 hingga 11 November lalu membabitkan enam sesi. – MalaysiaGazette