Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Oktober lalu.

DUNGUN – Mahkamah Majistret Dungun hari ini diberitahu suri rumah yang didakwa kerana melanggar tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun sehingga maut Oktober lepas, masih berada di Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemerhatian kesihatan mentalnya.

Dalam prosiding sebutan semula kes hari ini, Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes berkenaan memberitahu mahkamah,  laporan penuh berhubung tahap kesihatan mental Norizan Ismail, 49, masih belum diperoleh.

“Tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod menjalani rawatan psikiatri, jadi pihak hospital memohon perintah penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan,” katanya.

Peguam yang mewakili wanita berkenaan, Norhabibah Norulalzahar daripada tetuan Ghazali Ismail & Co mengesahkan perkara itu.

Selepas mendengar pemakluman berkenaan Majistret Nur Amirah Fatihah Osman membenarkan tempoh penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan selama sebulan dan menetapkan 17 Dis ini sebagai sebutan semula kes.

Norizan sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Pada 15 Okt lepas Nur Amirah Fatihah memutuskan supaya Norizan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan dan hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 9 Okt lepas, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan telah merempuh empat pelajar UiTM sehingga tiga daripada mereka meninggal dunia manakala seorang lagi Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera.

Norizan sebelum ini turut dituduh di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish dan esok ditetapkan sebagai sebutan semula kes. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here