Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak mampu menahan sebak ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UIAM ke 40 di Gombak. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang amat bermakna kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ia kerana Menteri Pendidikan Tinggi itu merupakan graduan terawal di UIAM.

Menurut beliau, ia juga merupakan kenangan manis apabila beliau menyampaikan sendiri sijil graduasi kepada anak bongsunya pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-40 di sini hari ini.

Pada majlis itu, anak lelakinya, Mukhlis yang juga pelajar Ijazah Undang-Undang turut mencium tangan bapanya sejurus menerima sijil daripada Zambry.

“Saya berasa bangga dan syukur kerana ini adalah kenangan yang benar-benar bersejarah, baik secara peribadi mahupun profesional.

“Sebagai anggota kumpulan mahasiswa pertama UIAM dan kini sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, ia menjadi kehormatan luar biasa untuk saya menyampaikan berucap pada konvokesyen ini.

“Saya ada lima anak dan kesemua anak saya belajar di sini bukan kerana tidak mempunyai keyakinan dengan universiti lain tapi mereka suka belajar di sini.

“Saya juga tidak memaksa mereka dan alhamdulillah anak-anak belajar di UIAM dan sudah menjadi ahli farmasi, biomedik dan bidang undang-undang,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyerahkan ijazah kepada anaknya, Mokhlis Zambry yang berjaya menamatkan pelajaran dari Fakulti Undang-Undang pada Majlis Konvokesyen UIAM ke 40 di Gombak. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2024

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil kepada 565 graduan daripada jurusan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim dan Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sini hari ini.

Ketika ucapannya, Zambry turut menitiskan air mata mengenangkan masa lalu sambil mengingatkan mahasiswa atas pengorbanan ibu bapa yang menjadi tunjang kejayaan kepada seseorang.

“Saya agak sebak kerana mengenang jasa ibu bapa dan siapa pun mereka tidak kira bergelar Tan Sri, Datuk Sri atau pun manusia biasa tanpa kira bidang pekerjaan, jasa ibu bapa sangat besar.

“Dan nilai inilah yang diajar dalam UIAM dan kehidupan kita, saya datang dari keluarga yang susah dan sebagai anak nelayan hingga ibu terpaksa gadai barang untuk pastikan saya masuk ke UIA.

“Jadi, saya nak ingatkan mereka pentingnya menghargai jasa, nilai dan hormati ibu bapa kerana kita melihat pada hari ini nilai seperti itu semakin terhakis dan perlu dibangkitkan balik,” jelasnya.

Majlis Konvokesyen yang bermula semalam sehingga 20 November ini meraikan seramai 5,041 graduan yang akan menerima skrol mereka dalam pelbagai peringkat akademik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast