KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,967 kes Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang (SCT/BMT) dijalankan di negara ini sehingga Oktober lalu berbanding hanya enam kes pada 1999.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, Hospital Ampang mencatatkan lebih 80 peratus kejayaan perkhidmatan tersebut.
“Dalam tempoh 25 tahun ini, Hospital Ampang mengendalikan 3,259 kes yang memerlukan rawatan SCT di negara ini dan diikuti Hospital Pulau Pinang (384 kes); Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (260 kes) serta 64 kes di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.
“Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun lalu, secara purata sebanyak 250 prosedur rawatan SCT dijalankan setiap tahun atau 1.06 kes setiap hari bekerja.
“Dalam pada itu, masa menunggu untuk SCT juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding perlu menunggu 18 bulan pada 2000, enam hingga lapan bulan (2010) dan kini (2024) empat hingga enam minggu 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan ST/BMT di Auditorium Hospital Ampang, Ampang, dekat sini, hari ini.
Selain empat hospital sedia ada, Dzulkefly berkata, KKM turut menyediakan dua lagi fasiliti sama di Hospital Umum Sarawak di Kuching, Sarawak dan Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan.
Fasiliti di Hospital Umum Sarawak akan memulakan SCT pada suku pertama tahun 2025.
Dalam pada itu, hospital-hospital berkenaan akan menempatkan empat atau lima pakar hematologi untuk mengendalikan kes SCT untuk di negeri itu dan sekitarnya.
“Dalam usaha memastikan rawatan yang mampan dan saksama kepada pesakit SCT/BMT, KKM komited menambah baik infrastruktur sedia ada, meningkatkan kemahiran sumber manusia serta memanfaatkan teknologi perubatan terbaru,” katanya.
Beliau berkata, selain menambah bilangan hospital bagi rawatan SCT, KKM juga berusaha meningkatkan bilangan Pakar Hematologi terlatih di seluruh Malaysia kepada 50 orang untuk tahun depan.
“Pada masa hadapan, semua kawasan geografi utama negara ini akan mendapat liputan iaitu Lembah Klang, Kawasan Utara, Kawasan Selatan, Pantai Timur, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
“KKM pada tahun lalu sudah mengemaskini ‘Garis Panduan Kebangsaan untuk Terapi Sel Stem Hematopoietik’ bagi memperkukuh kriteria akreditasi bagi pusat rawatan SCT,” katanya.
Menurut Dzulkefly, dalam menambah baik perkhidmatan SCT di negara ini, semua pusat rawatan yang menjalankan HSCT dikehendaki mendapatkan akreditasi daripada KKM.
“Ini kerana apa-apa prosedur khusus seperti SCT adalah berisiko tinggi, jadi kita mahu pastikan kesejahteraan rakyat dan pesakit terjaga.
“Dalam hal ini, saya mahu KKM menyokong pusat rawatan SCT sedia ada dan juga yang dalam perancangan, supaya pesakit tidak perlu lagi membuat perjalanan yang terlalu jauh untuk mendapat rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette