Warga emas maut ketika mahu tukar tayar dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya LKSA.

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau, seorang warga emas maut ketika sedang menggantikan tayar keretanya yang pancit dalam kejadian di Kilometer 5.5. Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), jam 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu mengakibatkan lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan maut di lokasi terbabit.

“Mangsa sedang mengambil tayar ganti di but belakang keretanya manakala kenderaan pacuan empat roda berkenaan berhenti untuk membantu mangsa.

“Tiba-tiba sebuah bas melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda tersebut menyebabkan kenderaan tersebut bergerak dan melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Ujarnya lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986.

“Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 0197757354,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast