Logo PTPTN

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi keutamaan tawaran pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam sektor yang menjadi fokus dan keutamaan negara.

Ia termasuk untuk bidang peralihan tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), serta bidang-bidang lain yang berpotensi tinggi.

Menurut Exco AMK yang juga Ketua AMK Segambut, Arshad Hassni, inisiatif berkenaan akan membantu penstrukturan bakat ke arah berkemahiran tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa.

“Dengan menumpukan pembiayaan kepada bidang-bidang strategik ini, kita dapat memastikan graduan tidak terbeban dengan hutang akibat ketiadaan pekerjaan atau gaji yang rendah selepas tamat pengajian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Arshad, pendekatan itu selaras dengan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM500 juta khusus untuk pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Strategi berkenaan sekaligus akan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan pelaburan pendidikan memberikan pulangan yang optimum kepada individu dan masyarakat, katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya PTPTN mengkaji secara keseluruhan sebelum melaksanakannya.

Semalam dilaporkan, PTPTN akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan untuk menghentikan pembiayaan bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, PTPTN akan berbuat demikian setelah meneliti beberapa aspek dan faktor secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast