Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat. Foto kredit IPK Kelantan.

KOTA BHARU – Polis menahan dua lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata masing-masing yang berusia 25 dan 31 tahun ditahan secara berasingan pada 11 pagi dan 9 malam tadi oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am menerusi Operasi Taring Wawasan.

“Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Kasa, Pasir Mas dan menemukan pelbagai peralatan dan barangan berkaitan SPRM.

“Polis merampas antaranya sepucuk pistol berisi lapan butir peluru, gari dan kad kuasa SPRM disyaki palsu dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menemukan lencana dan lambang SPRM pelbagai saiz, baju berlambang SPRM yang dipercayai digunakan untuk penyamaran anggota badan pencegah rasuah itu.

Mohd Yusoff berkata berdasarkan siasatan, suspek kedua dipercayai rakan subahat kepada suspek pertama.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek pertama mengaku telah memiliki barangan berkaitan SPRM sejak tiga tahun lepas dan membelinya secara dalam talian.

“Kami percaya suspek membelinya untuk tujuan penyamaran dan siasatan juga sedang dibuat bagi mengetahui tujuan suspek menyamar sebagai anggota SPRM,” katanya.

Beliau berkata kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif terhadap dadah kini direman seminggu bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here