KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat terhadap mayat wanita yang dibunuh dan disorok di dalam peti sejuk beku selama tiga tahun oleh anak kandungnya di Taman OUG, Kuchai Lama di sini masih diteruskan oleh pasukan forensik.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pasukan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan proses bedah siasat.
“Post mortem belum selesai lagi, Pasukan Patalogi Unit Forensik PPUM mengambil masa untuk membuat penilaian terhadap organ dalaman mangsa dibunuh itu.
“Mereka mengambil masa kerana organ dalaman mangsa perlu dinyahbeku (terbeku selama tiga tahun dalam peti sejuk beku),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini siasatan kes bunuh berkenaan.
Dalam pada itu, Ku Mashariman juga memaklumkan tempoh reman tujuh hari terhadap suspek lelaki berusia 53 tahun yang ditahan dalam kes ini akan tamat esok.
“Kita berkemungkinan besar akan sambung reman ke atas suspek pada Selasa ini selepas direman seminggu sejak 11 November lalu.
“Lagi pun, tahap kesihatan suspek yang sedang dirawat di PPUM masih belum pulih 100 peratus dan pihak doktor perlukan lebih masa untuk membuat penilaian kesihatan suspek itu termasuk tahap kesihatan mentalnya.
“Setakat ini, seramai lima saksi sudah dipanggil dan dirakam keterangan untuk membantu siasatan dalam kes ini,” tegasnya lagi.
Siasatan kes ini diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, suspek dikatakan telah menumbuk ibunya warga emas berusia 80-an hingga mati sebelum membalut mayat dengan tuala dan kain kemudian menyimpan dalam peti sejuk beku di dalam rumahnya.
Suspek mendakwa membunuh ibunya tiga tahun lepas iaitu pada tahun 2021 dan suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu kerana mahu ibunya ‘masuk syurga’. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki bunuh, simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku sejak 2021