KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyusun lima langkah efektif dan berkesan dalam menangani isu GISBH Holdings (GISBH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia melibatkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, ia turut membabitkan kolaborasi dengan agensi di peringkat negeri terutamanya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan/Bahagian Pendakwaan Syariah bagi memastikan langkah yang strategik dan tuntas dapat diambil.
“Lima langkah itu ialah mengadakan pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri, Penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah perundangan syariah negeri-negeri, mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISBH, enjalankan pemantauan berterusan secara bersepadu dan mengadakan program penjelasan fatwa GISBH kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mohd Na’im menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu GISBH yang telah timbul kembali sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, JAKIM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya.
Katanya, ia termasuk ahli-ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi- agensi lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette