Pasport Malaysia

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan agar sentiasa mengambil sikap berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran ke luar negara daripada pihak ketiga, terutamanya yang tidak dikenali atau baharu dikenali bagi mengelakkan dijadikan mangsa dan dieksploitasikan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pasport dan visa yang sah juga perlu dipegang sendiri tanpa dengan mudah menyerahkannya kepada mana-mana pihak.

Beliau menegaskan, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri sememangnya memandang serius isu rakyat Malaysia yang dijadikan mangsa jenayah pemerdagangan orang di luar negara.

“Sekiranya anda percaya bahawa diri sendiri telah ditipu dan dieksploitasi, hubungi perwakilan diplomatik Malaysia dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan konsular sewajarnya,”
katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Kamar Khas di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Cheng (PH-Subang) yang ingin tahu mengenai langkah perlindungan mangsa pemerdagangan warga Malaysia di luar negara.

Terdahulu, Mohamad berkata, bantuan konsular yang diberikan oleh Perwakilan Diplomatik Malaysia di seluruh dunia adalah selaras dengan fungsi-fungsi konsular yang telah diperuntukkan dalam Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963.

Mengambil peristiwa yang dialami Mala Vello, rakyat Malaysia yang berjaya pulang ke pangkuan keluarga selepas ‘terperangkap’ di Nepal akibat menjadi mangsa pemerdagangan manusia, beliau berkata, dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mala telah memfailkan permohonan semakan hukuman di Mahkamah Nepal dan berjaya mendapat perintah mahkamah agar beliau dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal.

“Setelah mendapat perintah tersebut, Kedutaan Besar Malaysia telah membantu urusan dokumen perjalanan bagi Puan Mala Vello.

“Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan pembelian tiket penerbangan Puan Mala di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia di Luar Negeri (KWARM) dengan mengambil kira latar belakang keluarga beliau yang memang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tanggungjawab bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu adalah mangsa pemerdagangan manusia atau tidak tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan dan tafsiran yang diperuntukkan dalam undang-undang di Nepal.

Datuk Mohamad Alamin.

Dalam erti kata lain kata beliau, pihak berkuasa Nepal yang akan menentukan sama ada sesuatu kes itu merupakan jenayah pemerdagangan manusia ataupun tidak, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkenaan di Nepal dan bukannya berdasarkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Malaysia.

“Malaysia bukanlah negara sumber tenaga buruh. Perlindungan terhadap rakyat Malaysia yang keluar bekerja di luar negara adalah tertakluk dan dilindungi di bawah undang-undang buruh dan undang-undang hak asasi manusia termasuk pemerdagangan orang di negara yang berkenaan.

“Pemakaian undang-undang buruh Malaysia mahupun mana-mana undang-undang Malaysia tidak terpakai di negara asing. Sungguhpun begitu, kerajaan Madani melalui Kementerian Luar Negeri dan Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang ditimpa masalah atau kesulitan ketika berada di luar negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here