Tangkap layar video tular seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar di Ipoh yang mencuci peralatan memasak di tepi longkang baru-baru ini. Foto Media Sosial

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan terus memantau selama sebulan restoran nasi kandar di sini yang tular membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang di belakang premis baru-baru ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai kesihatan menjalankan pemantauan di restoran tersebut selepas video itu tular di media sosial.

“Kita difahamkan restoran tersebut ditutup pada jam 12 tengah malam dan kerja-kerja mencuci peralatan memasak dilakukan selepas waktu tersebut.

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak mendapat sebarang aduan secara rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan.

“Apa yang saya dapat (maklumat) adalah melalui Facebook,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, pegawai kesihatan juga akan turun padang menemui penghuni rumah di belakang restoran berkenaan untuk mengambil kenyataan daripada mereka.

“Saya memandang itu sebagai tuduhan amat berat dan kita tidak akan benarkan,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengguna media sosial berkongsi video itu mendakwa restoran nasi kandar yang terletak di Silibin gagal mematuhi garis panduan kebersihan kerana pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan setiap malam.

Pengguna terbabit turut mempersoalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerana meluluskan lesen perniagaan restoran yang terletak bersebelahan taman perumahan.

Pada masa sama, pengguna terbabit mendakwa berdasarkan syarat lesen, perniagaan di kawasan perumahan sepatutnya beroperasi hingga 12 tengah malam sahaja namun restoran itu masih bising dengan kerja-kerja mengemas jam 2 pagi sehingga menyebabkan kacau ganggu terhadap kejiranan. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here