Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 65,191 Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghadapi masalah pembelajaran bagi kategori autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Oktober lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri mengakui nisbah OKU autisme berdaftar berbanding pusat jagaan tidak mencukupi.

Bagaimanapun, beliau berkata, bukan semua golongan itu perlu dihantar ke pusat jagaan khas sebaliknya apa lebih penting keperluan mereka mendapatkan intervensi selain bimbingan keluarga di rumah.

“Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 33 Pusat Jagaan Autisme yang berdaftar dengan JKM. Bagi pendaftaran OKU masalah pembelajaran bagi kategori autisme bagi tempoh sama pula adalah seramai 65,191 orang.

“KPWKM mengambil maklum, perkadaran nisbah di antara bilangan OKU autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian JKM atau agensi kerajaan lain tidak mencukupi,” katanya pada sesi pertanyaan menetri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan kerajaan bagi meningkatkan bilangan pusat autisme di seluruh negara dan sejauh mana bantuan serta insentif yang diberikan kepada pengusaha swasta dalam usaha ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kerajaan sentiasa cuba untuk melaksanakan inisiatif yang dapat memberikan sokongan perkhidmatan dari semasa ke semasa.

Katanya, beberapa inisiatif dilaksanakan bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan autisme.

Jelas, ia termasuk kerjasama dengan komuniti serta badan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) antaranya Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang sehingga September 2024, seramai 19,907 OKU sedang menerima perkhidmatan 573 PDK di seluruh negara.

“Kerajaan juga menyalurkan bantuan meringankan beban kos pengoperasian PDK ini manakala semua pelatih OKU juga mendapat elaun di PDK sebanyak RM300 sebulan,” ujarnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2024.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), Nancy memberitahu, KPWKM sedang bekerjasama dengan pakar berkaitan bagi menjalankan satu kajian peningkatan autisme di negara ini.

“Kita pada masa ini memang sedang mengkaji perkara ini kerana autisme tidak menentu spektrumnya agak luas. Jadi, keperluan mereka bergantung kepada apa spektrum mereka.

“Jadi, hanya pakar yang tahu tetapi kita bekerjasama dengan pakar. Pada masa ini, kita masih belum lagi memperoleh kepakaran begitu ramai, kita ada seramai 498 ahli terapi pertuturan bahasa berdaftar serta ahli terapi cara kerja seramai 2,473 berdaftar di seluruh negara.

“Untuk itu, pembangunan ekosistem lebih besar perlu dilaksanakan dan kita juga sedang melaksanakan modul asuhan dan jagaan untuk kanak-kanak ini yang akan kita lancarkan pada Sambutan Hari Kanak-Kanak nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here