KUALA LUMPUR- Sabah Electricity Sdn. Bhd. membuat laporan polis susulan dua pekerjanya cedera akibat nahas selepas diganggu dan diprovokasi dalam kejadian di Kampung Sepagaya, Lahad Datu, hari ini.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa sedang melaksanakan kerja pemotongan bekalan di rumah mempunyai tunggakan bil elektrik.
“Namun, ketika dua pekerja itu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda milik Sabah Electricity sedang parkir di tepi jalan bagi memeriksa senarai arahan pemotongan, mereka dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam dan seorang lelaki dalam keadaan marah cuba membuka pintu kenderaan dinaiki pekerja terbabit .
“Ekoran panik, pekerja itu segera beredar tetapi dikejar lelaki berkenaan sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal, kenderaan yang dinaiki pekerja Sabah Electricity hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan lalu terjunam ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, salah seorang mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri.
Menurut kenyataan itu, Sabah Electricity tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang ancaman yang membabitkan keselamatan pekerja ketika bertugas dan tindakan sewajarnya akan diambil.- MalaysiaGazette