Sultan Pahang pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan kerajaan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara total.

Baginda bertitah demikian susulan kebimbangan terhadap isu penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin mengundang bahaya terutamanya kepada generasi belia termasuk penggunaan vape.

“Vape diharamkan secara total supaya tidak perlu nak beri pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Jadikan masalah dadah ini masalah bersama dan banteraskan khusunya di kawasan pedalaman dan dalam kalangan anak kita sendiri,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 di sini hari ini.

Hadir berangkat mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Seterusnya Sultan Pahang bertitah, berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pahang merupakan negeri kelima teratas mempunyai bilangan penagih dadah.

Untuk rekod Al-Sultan Abdullah bertitah seramai 11,500 orang penagih telah dikenal pasti di negeri ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus daripadanya merupakan penagih muda yang berusia 15 hingga 30 tahun dan angka tersebut sememangnya membimbangkan baginda.

“Inilah peluang saya untuk membuat kenyataan tentang kebimbangan saya terhadap pasal isu dadah khususnya di sekolah -sekolah di negeri Pahang.

“Sudah sampai masanya ibu bapa di negeri Pahang ini tidak kira sama ada anak mereka terlibat nak minta mereka bantu.

“Ini satu angka yang membimbangkan. Saya bimbang kalau ini kita tidak beri perhatian mungkin angka ini akan bertambah,” titahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast