Banjir di Kemaman, Terengganu. 19 Nov 2024 Foto: Orang awam

KEMAMAN- Kira-kira 5,000 mangsa banjir daripada 450 buah keluarga di tiga perkampungan di daerah ini telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua mangsa dari Taman Perumahan Rakyat Teluk Kalong, Meraga Beris Kijal dan Kampung Labohan Kerteh mula berpindah sejak 3 petang tadi.

Menurut beliau, kira-kira 400 keluarga di Taman Perumahan Rakyat dipindahkan ke PPS Darul Iman Traning Centre (DITC) Teluk Kalong manakala mangsa banjir di dua lagi kampung dipindahkan di PPS berhampiran.

“Kita berpuashati mendapat kerjasama yang baik daripada kesemua mangsa banjir termasuk agensi penyelamat dari bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berusaha keras memindahkan kesemua mangsa dalam tempoh yang singkat.

“Kita juga mengambil tindakan pantas memotong bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan penduduk serta memudahkan pasukan penyelamat memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Hanyan berkata, keadaan hujan lebat yang berterusan sehingga 14 jam sejak malam tadi menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.

Tambahnya, pasukan penyelamat juga turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan air pasang yang dijangka bermula kira-kira jam 2 pagi nanti.

“Jangkaan air pasang besar itu setinggi kira-kira 3.6 meter dan agensi penyelamat akan memantau di kawasan sering dinaiki air itu.

“Bagaimanapun kita jangkakan keadaan masih terkawal di peringkat awak dan mungkin tidak akan berlaku pemindahan namun kita akan pantau kawasan terbabit, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here