KUALA LUMPUR- Kemaman dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak malam semalam, menjadikannya daerah pertama di Terengganu dilanda bencana itu.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataan di Facebooknya, malam ini, seramai 23 mangsa daripada empat keluarga telah dipindahkan ke dua pusat penempatan sementara, setakat ini.
Setakat ini, hujan masih berterusan di kebanyakan kawasan di Terengganu.

19 November 2024
Foto APM
Berdasarkan video dan gambar orang awam yang dikongsikan di media sosial antara kawasan yang ditenggelami banjir adalah Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kijal.
Menurut ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman, aliran air yang deras menyebabkan beberapa laluan dinaiki air, menyukarkan pergerakan penduduk setempat.

Foto APM
“Kami menyeru semua pihak untuk saling membantu dan terus berdoa agar keadaan ini segera pulih. Bersama-sama kita hadapi ujian ini dengan penuh sabar dan semangat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selain kawasan Teluk Kalong,keadaan air dilaporkan semakin meningkat naik di kawasan perumahan penduduk di Kijal dan Kemasik.
“Kita sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bersiap sedia untuk berpindah berikutan trend air yang semakin menaik,” katanya. -MalaysiaGazette















