Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Ancaman Kerintangan Antimikrob (AMR) merupakan krisis kesihatan yang menular dalam senyap.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia terbukti apabila menjadi salah satu daripada 10 ancaman terbesar kesihatan global seperti yang telah dikenal pasti  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Setiap kelewatan dalam menangani AMR membawa kita lebih dekat ke dunia di mana jangkitan biasa boleh menjadi mengancam nyawa sekali lagi,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (AMR) 2024 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, AMR berisiko berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur, kawasan dan latar belakang sekiranya kesedaran mengenai cara mencegahnya tidak disebarkan.

“Krisis ini mengancam kemajuan Agenda Pembangunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Matlamat Pembangunan Lestari. Jika tidak dibendung, AMR boleh mengakibatkan tambahan 5.2 juta kematian dan menyebabkan kerugian kira-kira $148 bilion kepada Kawasan Pasifik Barat menjelang 2030,” jelasnya.

Terdahulu, ketika Sesi Libat Urus Bersama Media Sempena Minggu Kesedaran AMR di sini pagi tadi dimaklumkan AMR dijangka berisiko mengakibatkan kira-kira 39 juta kematian antara tahun 2025 hingga 2050.

Sesi panel interaktif: Mengatasi cabaran dalam pelaporan AMR di Putrajaya pagi tadi.

AMR berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, virus, kulat dan parasit berkembang untuk menentang ubat-ubatan yang sepatutnya berfungsi sebagai membunuh dan mengawal penularannya.

Apabila AMR berkembang, jangkitan menjadi lebih sukar untuk dirawat menyebabkan tempoh sakit yang lebih lama, kos perubatan yang lebih tinggi dan kadar kematian yang meningkat.

Sekiranya ubat-ubatan seperti antibiotik, anti kulat, anti viral tidak berkesan proses rawatan akan bertambah.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menyeru supaya pelbagai pihak termasuklah golongan profesional kesihatan, pemimpin komuniti, pembuat dasar, media dan masyarakat saling bekerjasama bukan sahaja menimba pengetahuan mengenai AMR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast