KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membawa pelabur asing ke kawasan luar bandar sebagai satu kaedah untuk membandarkan kawasan berkenaan.
Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, sudah tiba masanya fokus seperti itu dibuat tanpa menumpukan lagi pelabur asing di kawasan bandar yang sememangnya sudah padat dengan kemajuan yang ada.
Katanya, ramai anak-anak muda kini berhijrah ke bandar disebabkan tidak mempunyai peluang pekerjaan di luar bandar kerana ketiadaan pelabur membangunkan kawasan itu.
“Saya hairan di kawasan luar bandar contohnya di Rompin. Kita ada kawasan industri, malah ada kawasan industri 1, takdan (belum lagi) lagi disiapkan kawasan industri 1 ini, dibuat pula kawasan indusri 2… penuh dengan sebesar-besar signboard, tapi pelaburnya tak datang.
“Pelaburnya masih lagi pergi ke kawasan-kawasan contohnya seperti Shah Alam, pelabur pergi ke Kuantan, tak ada nak ke Rompin, padahal kawasan industri itu sudah disediakan semua kemudahan yang lengkap,” katanya pada sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Abdul Khalib, apa salahnya jika menteri yang memegang portfolio MITI membawa pelabur ke kawasan-kawasan luar bandar.
Merujuk situasi di kawasannya di Rompin apabila sebuah kawasan perindustrian kini telah bertukar menjadi ladang kelapa sawit gara-gara tidak ada pelabur datang membuat pelaburan bagi memajukan kawasan itu.
Dakwanya, semua itu berlaku kerana menteri MITI sebelum ini tidak mempunyai niat untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“Kalau tak ada kemudahan bagi kemudahan, kalau talian elektrik 32kv (kilovolt), jadikan 132 kv, apa salah, ini masih lagi, Kuantan, Shah Alam, Bentong kawasan yang dah tepu, Kapar,” ujarnya. – MalaysiaGazette