Mazlan Abdul Rashid, mengidap bronkitis akibat debu daripada kerja-kerja pembinaan pangsapuri baharu berdekata PPR Wangsa Sari, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini, mendakwa kesihatan dan keselamatan mereka terjejas teruk sejak pembinaan Rumah Mampu Milik (RUMAWIP), Residensi J-Satine berdekatan kawasan itu.

Wakil penduduk, Mazlan Abdul Rashid, 50, mendakwa  projek pembinaan RUMAWIP itu telah bermula sejak tahun 2021 dan dijangka akan siap pada tahun 2026.

“Projek pembinaan itu sangat dekat, hanya 50 meter daripada kawasan PPR Wangsa Sari” katanya ketika ditemui pemberita.

Mazlan juga turut mendakwa, sejak projek itu berjalan, dia mengalami batuk berterusan akibat debu yang teruk dari tapak pembinaan itu.

Susulan itu, dia telah disahkan menghidap bronkitis selepas membuat pemeriksaan kesihatan.

“Saya mula perasan batuk ini tidak berhenti dan terus ke klinik dan kemudian doktor sahkan saya menghidap bronkitis.

“Apabila ditanya, saya beritahu saya tidak merokok, dan doktor mengesyaki punca masalah ini adalah habuk serta debu dari kawasan pembinaan,” katanya.

Mazlan menunjukkan gambar bayi yang berusia 12 bulan disahkan menghidap penyakit lelah akibat pencemaran debu di PPR Wangsa Sari.

Mazlan turut mendakwa bayi berusia 12 bulan di kawasan itu sering mengalami batuk dan lelah akibat debu di kawasan perumahan itu.

“Kami tanggung derita akibat pembinaan ini. Bayi dan penduduk lain terkesan,” ujarnya.

Selain mengalami masalah kesihatan, dia mendakwa, penduduk turut terkesan dengan bunyi bising daripada projek pembinaan yang berlarutan sehingga pukul 4 pagi.

“Bunyi bising akibat projek pembinaan itu sehingga lewat malam kemudian disambung sehingga awal pagi sangat menganggu penduduk PPR Wangsa Sari,” katanya.

Menurut Mazlan, dia pernah mendengar bunyi letupan kuat dari kawasan tapak pembinaan, namun tidak dapat mengenal pasti punca sebenar.

“Saya pernah dengar bunyi kuat, tetapi tiada apa-apa kelihatan dan kemudian, saya datang bertanya apa yang berlaku, namun pekerja pembinaan mengatakan tiada apa yang berlaku.

“Pelik bila mereka buat kerja dalam gelap pada pukul 8 malam,” ujarnya sambil menambah aktiviti pembinaan pada waktu malam semakin kerap, termasuk kerja menghantar struktur sokongan.

“Ada satu malam sekitar jam 1 pagi, saya dengar bunyi bising seperti treler menghantar barang. Situasi ini mencurigakan, kenapa kerja perlu dilakukan dalam gelap?, ” katanya lagi.

Mazlan berkata, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tindakan yang diambil tidak berkesan.

“Isu ini viral di Facebook. DBKL kemudian datang, keluarkan notis, tetapi penduduk masih tidak nampak penyelesaian,” katanya yang kecewa seolah-olah masalah penduduk di pandang sepi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast