KUALA LUMPUR – Tempoh penggantungan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bergantung kepada saranan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa tata kelola yang dilantik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jawatankuasa tata kelola itu akan memastikan semua isu yang membelenggu Nafas berjaya diselesaikan dan agensi terbabit kembali berada pada landasan yang betul.
Ujar beliau, penggantungan itu juga kelak akan diangkat semula bersama pindaan-pindaan di bawah kuasa kementerian dan Menteri dengan dinasihati oleh penasihat undang-undang dalaman serta pandangan daripada Pejabat Peguam Negara.
“Ini supaya apabila penggantungan Nafas itu ditarik balik, ia dapat berjalan (berfungsi) dengan baik dan tidak ada lagi kuasa bertindih pada masa akan datanga,” katanya dalam sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad (PH-Kota Raja) menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanyakan berapa lama Nafas akan digantung ekoran kontroversi berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi di agensi terbabit.
Sementara itu, Mohamad berkata, siasatan lanjut berkenaan dakwaan penyelewengan dalam Nafas ketika ini sedang berjalan termasuk yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sehubungan itu, jelasnya, adalah tidak wajar untuk menuduh mana-mana pihak sama ada bekas menteri atau bekas timbalan menteri atau beliau sendiri terbabit dalam dakwaan salah laku terbabit.
“Kita tidak mahu tuduh-menuduh dan jangan menunding jari kepada sesiapa, yang penting kita minta SPRM siasat dan kita beri sedia beri kerjasama.
“Kita harap laporan dan pendakwaan pihak berkuasa itu nanti tidaklah mengatakan ia merupakan pendakwaan terpilih,” katanya.
Tambah Mohamad, kontroversi dan masalah yang melanda Nafas juga pernah berlaku dalam agensi kerajaan lain sebelum ini dan selepas bantuan daripada kerajaan seperti `bailout’, agensi terbabit kembali berjaya sehingga ke hari ini.
Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan sebelum ini pernah membantu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) yang sebelum ini pernah berdepan masalah, namun ketika ini menjadi antara institusi bank terbaik di negara ini.
“Nafas pun selepas ini akan bernafas semula dan berada pada landasan terbaik, insya-Allah,” katanya.
Bermula 1 November lalu, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Nafas di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Ia susulan siasatan SPRM berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Difahamkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan. – MalaysiaGazette