Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah berucap semasa townhall media mengenai 1 MDB di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mungkin bersembunyi di Myanmar dan dilindungi oleh junta tentera negara itu.

Beliau mendakwa, perkara itu didedahkan hasil keterangan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang memberitahu bahawa Jho Low menguruskan perjalanan dan kemasukannya ke negara berkenaan.

“Berdasarkan keterangan yang diperoleh daripada Jasmine Loo, Jho Low mendapat perlindungan jeneral tentera di Myanmar selepas berjaya mendapatkan pasport untuk bekas peguam itu.

“Jho Low berjaya membawa masuk Jasmine Loo ke Myanmar yang dikenali sebagai negara koboi tanpa paspostnya dicop,” ujar beliau pada sesi `Media Townhall – Getting The Facts Right, The Untold Stories – 1MDB & Other Cases’ di sini hari ini.

Muhammad Shafee yang merupakan salah seorang ahli panel sesi berkenaan, menjawab soalan orang awam berhubung keberadaan Jho Low sehingga sukar dikesan hingga kini.

Panel itu turut dianggotai oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan peguam Adzly Abdul Manas manakala Kamarudin Ahmad bertindak sebagai moderator.

Muhammad Shafee turut berkata, pada mulanya Jho Low dikatakan berada di China, Dubai dan Macau namun beliau syak ahli perniagaan dalam buruan itu berada di Myanmar berdasarkan keterangan Jasmine Loo.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 5 April lalu, Jasmine Loo mendedahkan bahawa beliau pernah berdepan masalah dengan junta tentera Myanmar apabila cuba memasuki negara itu pada 2019 selepas pasportnya tidak dicop.

Ujar bekas peguam itu, bagaimanapun Jho Low kemudian berunding dengan pihak berkuasa Myanmar untuk memberikannya pasport palsu bagi membolehkannya memasuki negara tersebut.

Jasmine Loo memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-50 pada perbicaraan terhadap Najib dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here