Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen di blok kerajaan menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi penjelasan mengenai kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang dipimpin Taliban ke kementeriannya, baru-baru ini.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, lawatan itu telah menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

“Saya timbulkan perkara ini kerana bukan sahaja sebagai wakil rakyat, tetapi juga seorang yang mengambil berat tentang hak asasi manusia khususnya tentang hak pendidikan golongan wanita.

“Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di sekolah menengah dan universiti.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengecam Afghanistan dan pimpinan Taliban kerana tindakan sedemikian sama seperti aparteid jantina.

“Saya harap satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia kerana kita amat prihatin sebagai negara yang menyokong hak golongan wanita dan hak mereka khususnya untuk mendapatkan pendidikan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Fadhlina mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.

Fadhlina berkata, lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.

Guan Eng berkata, tiada keperluan untuk Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.

“Saya rasa perkara ini (terima lawatan Kementerian Pendidikan Afghanistan) akan ditentang semua rakyat Malaysia dan saya yakin seluruh dunia (akan menentang),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengusulkan satu soalan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung perkara itu untuk dijawab di Dewan Rakyat.

Katanya, beliau mengharapkan agar jawapan mengenainya dapat diberikan esok dan jika tidak, ia perlu dijawab pada sesi pertanyaan menteri minggu depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast