Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng tidak perlu meragui kunjungan rasmi delegasi Kerajaan Afghanistan (Kementerian Pendidikan Afghanistan) yang dipimpin oleh Taliban ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ia kerana kunjungan itu mendukung nilai sejagat yang disepakati iaitu pemberdayaan wanita menerusi pendidikan.

“Kunjungan Kerajaan Afghanistan itu memperlihatkan pengiktirafan terhadap sistem pendidikan Malaysia sebagai model yang ingin dicontohi oleh negara lain.

“Dari sisi lain keterbukaan ini menggambarkan kesediaan negara ini untuk memperjuangkan aspek pendidikan untuk semua kelompok termasuk wanita. Tambahan pula Malaysia menampilkan Fadhlina Sidek sebagai Menteri yang menerajui Kementerian Pendidikan,” katanya.

Menurut Ahmad Fahmi, kesediaan dunia Islam khususnya seperti Afghanistan memberi perhatian dalam aspek pendidikan perlu diberi perhatian, apatah lagi bila ia menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pelbagai aspek termasuk kokurikulum, pendidikan rendah dan menengah dan aspek pelatihan keguruan.

Justeru ABIM berpandangan negara mempunyai peluang besar untuk memainkan peranan strategik sebagai negara Islam progresif yang menegakkan prinsip keadilan, kebebasan, dan hak pendidikan untuk semua.

Apatah lagi ia membuktikan kredibiliti KPM yang diterajui Fadhlina serta timbalannya Wong Kah Woh diberi perhatian.

“Peluang ini juga perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan kekuatan budaya hidup dalam rukun damai yang diamalkan di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Guan Eng mahu Fadhlina perjelas kunjungan Kementerian Pendidikan Afghanistan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast