KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, terdapat satu lagi libat urus dengan menteri-menteri berkaitan dalam masa terdekat berhubung perkara itu.
Katanya, pindaan itu akan dibentang pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat tahun depan sekiranya sesi libat urus itu membuahkan hasil yang positif.
“KDN mempunyai peranan yang amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman bagi menyokong pembangunan negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chow Yun Hui (PH-Raub) yang meminta KDN menyatakan garis masa terperinci bagi pindaan Poca memandangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Seksyen 4 dan 15B akta tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, mengambil kira maklum balas sesi libat urus pada Februari lepas, KDN telah melaksanakan bengkel susulan pada Mac.
Katanya, bengkel itu bagi meneliti pandangan dan memenuhi hasrat yang diutarakan oleh pemegang taruh.
“Hasil bengkel susulan telah dibentangkan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail melalui satu taklimat pada April.
“Dalam taklimat tersebut, (Saifuddin Nasution Ismail) telah mengarahkan agar sesi libat urus bersama pihak menteri-menteri berkaitan diadakan semula sebelum memorandum diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri,” ujarnya.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B Poca ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan kerana merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah. – MalaysiaGazette