Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Orang ramai mungkin perlu membayar sekiranya mahu mendapatkan lesen memandu mereka secara fizikal tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu berikutan pihaknya khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga kini masih menerima rungutan daripada orang ramai yang mahu mencetak lesen memandu mereka.

“Jadi dari segi itu, kita akan tambah baik. Awal tahun depan kita akan umumkan satu inisiatif iaitu kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen memandu mereka secara fizikal, mungkin mereka kena bayar untuk pencetakan kad fizikal itu,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anthony (PH-Seremban) menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkenaan sejauh mana keberkesanan langkah pengenalan lesen memandu dan cukai jalan secara digital serta penjimatan yang diberikan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, sejak diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu, aplikasi MyJPJ yang menyimpan data lesen memandu dan cukai jalan orang ramai secara digital telah dimuat turun oleh seramai 13.7 juta pengguna.

Setakat 31 Oktober lalu juga, ujar beliau, lebih sejuta transaksi melibatkan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu membabitkan nilai hampir RM121 juta dicatatkan menerusi aplikasi MyJPJ.

Dalam masa sama, kata beliau, aplikasi pendafatran nombor plat kenderaan iaitu JPJ eBid telah dimuat turun oleh kira-kira 10.7 juta pengguna.

“Jadi dari segi membantu kecekapan orang ramai dan JPJ, aplikasi digital ini memang ada keberkesanannya dan Kementerian Pengangkutan tidak akan menoleh ke belakang dari dari aspek pendigitalan ini.

“Malah, kita juga akan lihat apa lagi penambahbaikan yang boleh kita buat supaya proses pendigitalan ini dapat diteruskan dan dapat menambahkan lagi kecekapan jabatan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here