KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedar diri dalam sebuah kereta di Taman Tasik Widuri, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam2.50 petang.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa seorang perempuan warga tempatan berumur 38 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dalam kerata Suzuki Swift.
“Polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan ke atas tubuh badan wanita itu.
“Susulan dari itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tujuan bedah siasat untuk mendapatkan punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah mengambil nyawanya dengan cara melemaskan diri dengan asap di dalam kereta yang dikunci dari dalam.
Kata Ahmad Faizal, tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan pada tubuh badan mangsa.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan kes ini dan menunggu laporan bedah siasat.
“Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” ujarnya.-MalaysiaGazette