KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Shahar Abdullah kerana tidak faham mengenai peraturan mesyuarat.
Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) menggunakan peraturan 24A (2) dan (5) untuk menegur menteri kerana tidak hadir menjawab soalan bagi sesi pertanyaan menteri pada persidangan sebelah pagi, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada timbalan menteri.
Mendengarkan perkara yang dibangkitkan itu, Mohd Shahar bertanyakan kepada Jamaludin sama ada beliau memahami peraturan mesyuarat yang digunakan.
“Yang Berhormat Pasir Salak, yang berhormat faham ke tak faham dengan peraturan mesyuarat 24A itu. Itu adalah pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT)…kan kita ada, kita ada dua…pertanyaan menteri (MQT) atau pertanyaan urusan biasa.
“Yang berhormat bangkitkan itu adalah peraturan yang melibatkan pertanyaan menteri. So, saya ingat yang berhormat baca elok-elok dan fahami elok-elok peraturan mesyuarat…jangan bazir masa,” katanya.
Jamaludin membangkitkan peraturan itu selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjawab soalan tambahan yang dikemuakan oleh Datuk Mohd Isam Mohd. Isa (BN-Tampin).
Sidang Dewan Rakyat kemudiannya diteruskan tanpa sebarang kekecohan. – MalaysiaGazette