Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembiayaan perjalanan dalam lawatan rasmi keluar negara yang ditanggung syarikat swasta didakwa menimbulkan banyak tanda tanya.

Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, beliau memahami kerajaan mahu berjimat bagaimanapun beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan memilih syarikat untuk mengikuti lawatan rasmi berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa itu berkata, banyak syarikat ada kepentingan pelaburan, import dan eksport.

“Apa yang ditanggung oleh syarikat dan apa yang ditanggung oleh kerajaan? Bagaimana cara ini berbeza dengan ‘memberi hadiah’?

“Adakah terdapat garis panduan yang sesuai untuk syarikat mendapat manfaat?” soalnya

Amira Aisya juga menimbulkan persoalan sama ada syarikat-syarikat berkaitan akan tanggung kos perjalanan menteri Kabinet dan ahli Parlimen Kerajaan yang lain pada masa depan.

“Kalau ahli Parlimen Kerajaan nak ikut buat tatakelola macam ni, boleh panggil mana-mana syarikat taja juga ke?” soalnya melalui kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi Perdana Menteri ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.

Anwar menjelaskan, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.

Malah beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

“Saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi, jadi kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).

“Kita jemput syarikat-syarikat terbabit umpamanya Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor, datang ikut dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.

“Jadi maknanya kalau tak salah saya, sekitar 70, 80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan dan pelaburan kerana kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast